Sejarah Surau Taman Sungai Abong Baru



Tapak Surau
Inisiatif untuk mendapatkan tapak pembinaan bangunan surau pada awal tahun 1997 telah dilakukan oleh Pengerusi Surau pada masa itu secara bersendirian. Tapak tanah surau tersebut pada asalnya adalah padang permainan kanak-kanak yang tidak terurus. Permohonan untuk mendapatkan tapak tersebut telah dibuat melalui Pegawai Daerah Muar pada ketika itu iaitu Dato’ Johari bin Suratman. Dengan jasa baik beliau, Pengerusi Surau pada ketika itu telah berjaya memohon untuk mewakafkan tapak tanah surau tersebut daripada Pejabat Agama Daerah Muar.

Reka Bentuk dan Siri Pembinaan
Reka bentuk Surau Parit Hj Ali Muar  telah dipilih untuk menjadi asas bagi reka bentuk Surau Taman Sungai Abong Baru. Tanah di bahagian halaman surau itu telah ditambak dengan tanah merah  sebanyak 75 lori. Kerja menambak ini telah berjalan dengan lancar kerana suatu peruntukan telah disediakan oleh YB Dato’ Hj Abdullah bin Mohd Ali, Ketua UMNO Bahagian Bakri merangkap ADUN Kawasan Bukit Naning pada ketika itu. Selain daripada itu, seorang penderma bernama Cikgu Nazar bin Hamid telah menyumbang tanah merah bagi menambak kawasan yang rendah dan curam sebanyak  25 lori.

Dana dan Sumbangan
Peruntukan dana telah didermakan oleh seorang dermawan bernama Dr Baharom bin Ani, seorang ahli Jemaah Tabligh di Masjid Sri Petaling. Pada mulanya beliau ingin menderma sebanyak RM180,000.00 tetapi setelah berunding dengan pihak kontraktor, kos pembinaan sekitar RM120,000.00 sahaja. Jadi, pihak pengurusan surau telah mengambil RM120,000.00 sahaja secara beransur-ansur iaitu 20% daripada RM120,000.00 pada setiap peringkat pengeluaran mengikut tahap kemajuan pembinaan. Semua cek yang dikeluarkan adalah atas nama jawatankuasa surau dan bukan nama individu tertentu untuk mengelakkan sebarang penyelewengan. Dalam proses pembinaan surau tersebut, kontraktor Lokman Enterprise telah tidak meneruskan kerja-kerja pembinaan walau pun sebanyak RM20,000.00 telah dikeluarkan untuk perbelanjaan. Perundingan antara pihak pengurusan surau dan kontraktor telah dibuat tetapi masih gagal.
Pada mulanya, pihak pengurusan surau hendak menyaman kontraktor tersebut tetapi atas nasihat Tuan Hj Idris Awabi, pihak pengurusan hanya melakukan solat sunat hajat sahaja. Selepas itu,  jawatankuasa telah memohon kepada Jabatan Agama Islam Daerah Muar untuk memungut derma bagi pembinaan surau tersebut. Pungutan derma telah bermula pada tahun 1998 dan akhirnya berjaya mengumpul RM29,000.00. Maka dengan modal tersebut, kerja-kerja pembinaan dapat diteruskan dengan menggunakan seorang tukang bina. Pembinaan surau tersebut bermula pada  tahun 1998 dan siap pada tahun 2001.
Tembok pada pagar surau telah dibina oleh Kontraktor Aziz Subari dengan kos RM20,000.00 peruntukan daripada Ketua UMNO Bahagian Bakri ketika itu iaitu YB Dato’ Hj Abdullah bin Mohd Ali. Peruntukan turap jalan sebanyak RM20,000.00 juga diperolehi daripada YB Dato’ Hj Abdullah bin Mohd Ali melalui Kontraktor Sadruddin Taha.

Penggunaan Surau
            Pada tanggal 20 April 2001, suara azan telah berkumandang di surau ini. Bilal yang pertama melaungkan azan ialah Tuan Hj Barakat Ali Jinnah bin Md Ibramsa, secara kebetulannya pada waktu solat asar. Pada keseluruhannya, surau ini boleh menampung 150 orang jemaah dalam satu-satu masa.  Dalam beberapa tahun kemudian, ruang tempat solat wanita tidak mencukupi dan telah dibuat tambahan 8 kaki ke belakang dengan kos pembinaan RM8,000.00 sumbangan daripada orang perseorangan dan siap pada tahun 2004.
            Sementara stor surau ini telah dibina dengan kos RM18,000.00 daripada penderma Dr Baharom bin Ani. Sejak wujudnya surau tersebut, ia telah memberi kemudahan dan manfaat kepada penduduk merangkumi 4 buah taman iaitu Taman Sungai Abong Baru, Taman Harmoni, Taman Sungai Abong Indah dan Taman Mulia. Kini Surau Taman Sungai Abong Baru telah menjangkau usia 12 tahun sejak mula ia siap dibina.

Peraturan Pejabat Agama Islam Daerah Muar
            Pihak Pejabat Agama Islam Daerah Muar telah meluluskan undang-undang dan peraturan tanah surau yang telah diwakafkan. Pihak pengurusan surau  mestilah berurusan dengan pejabat tersebut sebelum melaksanakan apa-apa projek di tanah tersebut. Sebarang projek yang dilaksanakan tanpa kebenaran Pejabat Agama Islam Daerah Muar adalah suatu kesalahan yang besar.

[Sumber: Tuan Haji Muhammad bin Haji Ani, Bekas Pengerusi, Surau Taman Sungai Abong Baru. Beliau adalah seorang pengasas yang bertanggungjawab dalam menjayakan pembinaan surau ini dari awal hingga akhir proses pembinaan.]

 
RUANGAN AHLI
Waktu Solat